Takaful vs Insurans

Pengharaman Insuran. Takaful Sebagai Alternatif




Baru-baru ini seorang rakan telah bertanya kepada saya. “kenapa insuran dilabelkan haram? Insuran dengan takaful bukan ke sama konsepnya?”
Persoalan ini barangkali bertitik tolak dari kesepakatan para ulama tentang status insuran dan status wang pampasan insuran seperti yang telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (serta majlis-majlis fatwa lain di dunia).
Sila rujuk di sini
Mari kita renungkan situasi ini. Seketul ayam, sebelum kita dapat tentukan halal haramnya, perkara paling asas yang perlu kita pastikan adalah cara mati ayam tersebut; samada secara sembelihan atau mati cara lain. Pun begitu, masih juga tidak cukup untuk kita menentukan halal haram ayam tersebut dengan hanya mengetahui bahawa ia telah disembelih. Kerana syarak telah menetapkan bahawa sesuatu sembelihan itu hanya akan menjadikan ayam tersebut halal dimakan jika sembelihan tersebut memenuhi setiap syarat atau rukun sembelihan. Sekiranya salah satu rukun tidak dipenuhi contohnya sembelihan tidak dilakukan oleh orang Islam, maka sembelihan tersebut tidak sah dan ayam tersebut menjadi haram dimakan. Walaupun ayam bukan haiwan yang diharamkan seperti khinzir, namun soal halal atau haram memakannya tetap tertakluk kepada sejauh mana proses sembelihan mematuhi aturan yang telah ditetapkan oleh hukum syarak.
Sama halnya dengan insuran dan takaful. Keduanya membawa tujuan yang sama iaitu memberikan perlindungan serta jaminan berupa manfaat (lazimnya berbentuk kewangan). Samada insuran atau takaful, keduanya hanyalah nama. Halal haramnya bukan pada nama tapi melihat kepada sifat dan cara perlaksanaannya. Baik insuran mahupun takaful, sekiranya dijalankan secara mematuhi syariat Islam maka jadilah ia insuran atau takaful yang patuh syariah x kisahlah apa pun nama yg digunapakai. Cuma lazimnya, insuran merujuk kepada pelaksanaan secara konvensional dan berkonsepkan perniagaan yang mencari keuntungan manakala takaful itu merujuk kepada perlaksanaan berpaksikan pematuhan syariah dan berkonsepkan sumbangan/derma untuk saling membantu sesama pencarum. Pengendali takaful hanya bertindak sebagai pemegang amanah untuk setiap caruman peserta manakala pengendali insuran memiliki sepenuhnya wang premium peserta. Kita di Malaysia mempunyai Akta Takaful 1984 dan Akta Insurans 1963 (pindaan 1996) yang membezakan perlaksanaan dan pengendalian keduanya oleh pihak pengendali takaful dan insuran. Akad atau perjanjian yang diguna pakai oleh insuran (Mu’awadat) dan takaful (Tabarru’) menentukan secara jelas sifat insuran dan takaful tersebut.
Apa yang saya kongsikan adalah perkara yang telah disepakati oleh para ulama. Hakikatnya pengharaman insuran masih belum dapat diterima secara menyeluruh sehingga ke hari ini. Kerana masih ramai yang kurang jelas serta masih wujud pertikaian berdasarkan hujah dan pemahaman masing-masing. Mungkin juga ramai yang sebenarnya masih tidak sedar tentang ketetapan hukum yang telah disepakati oleh para ulama ini. Bagi saya terpulang kepada justifikasi individu untuk memahami perkara pokok pangkal perkara ini. Kesepakatan ulama tentang pengharaman insuran adalah berdasarkan kepada ciri dan perkara-perkara yang menunjangi perjalanan serta penjanjian atau akad insuran itu sendiri yang tidak mematuhi prinsip syariah sepenuhnya kerana mempunyai unsur-unsur tidak patuh syariah seperti unsur riba contohnya. Atas sebab-sebab inilah terpakainya ketetapan bahawa insuran itu haram oleh majoriti ulama dunia. Walaupun pengharaman insuran bukan suatu ketetapan hukum yang dapat dimuktamadkan secara total seperti mana jelasnya hukum haram meminum arak namun ia adalah ijtihad majoriti para ulama seluruh dunia yang telah membahaskan hal ini secara meluas dan terperinci setelah mengambil kira segala aspek syariat Islam.
Apa pun, penilaian dan pilihan ditangan kita. Takaful adalah alternatif kepada umat Islam sebagai menyokong perkembangan muamalah Islam serta satu mekanisma selamat untuk kita mendapatkanperlindungan yang diperlukan tanpa melibatkan diri dan keluarga dengan unsur-unsur tidak patuh syariah selain membersihkan wang ringgit kita dari unsur tidak halal.



Ciri-ciri Insurans dan Takaful


Nota: Insuran di sini merujuk kepada insuran konvensional yang perjalanan operasinya tidak berlandaskan kepada syariah. Berhijrah atau mencari bentuk perlindungan berasaskan konsep takaful adalah perkara yang digalakkan.
Takaful dan Insuran. Dua nama berbeza tapi dengan tujuan yang sama iaitu memberikan jaminan perlindungan dan bantuan dalam bentuk kewangan kepada peserta apabila berlaku perkara-perkara seperti yang dipersetujui. Pun begitu antara keduanya terdapat perbezaan sifat atau ciri yang ketara. Perbezaan utama adalah akad atau kontrak yang digunapakai. Terdapatnya unsur-unsur riba, gharar (ketidakpastian) dan (maisir) judi di dalam urusniaga insurans telah membawa kepada ketetapan

InsuransTakaful
Asas kontrak adalah Kontrak Mu’awadat iaitu pertukaran dalam bentuk jual beliAsas kontrak adalah Kontrak Tabarru’ yang berasaskan prinsip derma@sedekah dengan gabungan kontrak lain seperti Kontrak Wakalah (agensi) dan Kontrak Mudharabah (perkongsiaan untung rugi)
Kontrak adalah di antara pembeli insuran yang membuat pembelian dan penanggung insuranKontrak adalah di antara sesama peserta yang membuat caruman/sumbangan dan bersifat unilateral serta tidak memerlukan sebarang bentuk pertukaran
Mempunyai unsur-unsur riba, gharar (ketidakpastian) dan maisir (judi)Tiada unsur-unsur riba, gharar (ketidakpastian) dan maisir (judi)
Pelaburan dilakukan ke dalam instrumen pelaburan yang pelbagai tanpa mengambil kira aspek pematuhan syariah termasuk pelaburan ke dalam instrumen berasaskan perjudian dan arakPelaburan dilakukan ke dalam instrumen pelaburan yang disahkan sebagai patuh syariah sahaja
Penanggung insuran memegang tanggungjawab penuh membayar pampasan seperti yang dijanjikan. Ia dibayar dengan wang aset penanggung insuran tersebut dari premium pembeli insuran yang menjadi milik penanggung insuranPengendali takaful hanya bertindak sebagai pemegang amanah  di mana risiko tidak berpindah milik dari peserta kepada pengendali takaful dan manfaat dibayar sepenuhnya dari wang peserta yang mencarum untuk saling menjamin antara satu sama lain
Tidak membayar zakat kecuali cukaiMembayar cukai dan zakat sekaligus membersihkan wang peserta dari unsur tidak halal









No comments:

Post a Comment